Assalamualaikum,
Ingin saya berkongsi tulisan saudara kita, Khairul Anwar Rahmat(Peguambela Syarie) dalam artikel beliau di mystaronline.
BONA FIDE (in good faith) ... Oleh KHAIRUL ANWAR RAHMAT
MASIH ingat cerita Labu Peram? Bagaimana dengan Pak Man Telo? Saya pasti ramai yang tersenyum mengenangkan dua skim pelaburan yang pernah menggegarkan negara kita suatu masa dahulu.
Ketika di usia remaja, acapkali saya mendengar keghairahan semua orang bercerita mengenai skim pelaburan yang sangat ‘menguntungkan’ itu. Ramai yang bertandang ke rumah memujuk ibu dan bapa saya untuk menyertainya.
Daripada jiran tetangga, saudara mara, sehinggalah kenalan yang baru pertama kali bertemu di majlis perkahwinan - semuanya seronok bercerita mengenai ‘kehebatan’ pelaburan yang sedemikian.
Masakan tidak, melabur sedikit, pulangan yang dijanjikan amatlah banyak sehingga tidak terjangkau akal fikiran. Misalannya, dengan melabur RM1,000 selama sebulan, peserta boleh mendapat bonus sehingga RM6,000.
Dalam istilah bahasa Inggeris, ia disebut sebagai ‘too good to be true’ atau ‘terlalu hebat untuk kita mempercayainya’. Saya tidak pasti sama ada ibu-bapa saya pernah menyertai skim-skim pelaburan seperti itu, namun saya pasti kedua-dua orang tua saya tidak pernah menepuk dahi, menjadi separuh gila atau berguling di atas tanah atau tikar akibat kehilangan wang beribu-ribu ringgit.
Ketika bertugas sebagai wartawan, saya pernah menyelongkar skandal pelaburan yang berkonsepkan skim cepat kaya. Ramai yang memberikan reaksi positif kerana baru tersedar betapa banyaknya syarikat yang berselindung di sebalik pelbagai nama tetapi menjalankan pelaburan ala skim cepat kaya.
Namun, ada juga yang menelefon di pejabat, mengugut dan menggertak supaya saya tidak meneruskan ‘peperangan’ saya dengan syarikat-syarikat tertentu. Namun, naluri kewartawanan saya mengatasi segala-galanya.
Oleh kerana siri laporan khas itu, saya mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri yang dipimpin ketika itu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kini, perjuangan di medan undang-undang menyaksikan saya terus berhadapan dengan kes penipuan berorientasikan skim cepat kaya. Ramai sudah yang tertipu. Beratus-ratus juta ringgit telah lesap begitu saja.
Tidak kurang juga banyak rumahtangga yang menjadi huru-hara. Ini semua akibat skim cepat kaya.
Kemunculan skim itu bersilih ganti dengan pelbagai rupa dan nama. Bermula dengan penyebaran surat berantai, skim cepat kaya juga berlaku melalui syarikat jualan langsung, produk kecantikan, barangan kesihatan, pelaburan hartanah, perniagaan berkonsepkan Islam dan sebagainya.
Jika dulu wang yang dikumpul daripada peserta disimpan di dalam labu sehingga wujud nama Labu Peram, kini kegiatan sedemikian turut memanfaatkan kemudahan teknologi dan internet sehingga terciptanya Swiss Cash.
Sebenarnya, setiap pengusaha skim cepat kaya menggunakan kaedah mudah ketika menjalankan operasi perniagan masing-masing. Mereka menggunakan pendekatan Ponzi iaitu diambil daripada nama Ponzi, rakyat Amerika berketurunan Itali yang berjaya menipu pelabur di New York, beberapa dekad lalu.
Mengikut kaedah Ponzi, langkah pertama yang harus dilakukan ialah mendapatkan sekumpulan pelabur. Misalnya, pelabur Kumpulan A. Pastikan Kumpulan A itu dapat mempengaruhi kumpulan pelabur lain iaitu Kumpulan B.
Seterusnya, wang yang dilaburkan pelabur Kumpulan B digunakan untuk membayar imbuhan atau dividen kepada kumpulan A. Imbuhan lumayan yang diberikan kepada Kumpulan A akan menarik minat kumpulan pelabur lain iaitu Kumpulan C untuk turut serta.
Putaran terus berlaku dengan wang pelaburan Kumpulan B digunakan untuk membayar imbuhan bagi Kumpulan C. Begitulah seterusnya sehingga tiada lagi kumpulan pelabur baru muncul atau sudah tiba masa bagi pengusaha menghilangkan diri.
Kaedah Ponzi ini sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa untuk mengelirukan peserta dan mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Sebenarnya, ada beberapa petua untuk mengenalpasti penipuan skim ini. Sekiranya ada syarikat yang terlalu menumpukan kepada usaha `menaja' ahli baru berbanding jualan produk, orang-ramai perlu lebih berhati-hati kerana sistem sedemikian menjurus kepada skim cepat kaya yang hanya menguntungkan segelintir pihak iatu mereka yang terdahulu menyertainya.
Penganjur skim cepat kaya juga menyediakan pelbagai pakej imbuhan lain untuk menarik lebih ramai orang menyertainya. Antaranya, memberikan insentif secara mingguan dan ada yang menerimanya secara harian.
Ada juga pengusaha yang memotong sebahagian daripada wang imbuhan untuk dimasukkan ke dalam 'tabung' untuk kenderaan mewah dan rumah. Untuk menambah keyakinan pelanggan baru, ada penganjur skim itu menawarkan insentif pelancongan terutama untuk menarik minat golongan suri rumah dan golongan berumur.
Apa yang kita tidak sedari ialah betapa skim cepat kaya menjadi punca keruntuhan kerajaan Albania pada suatu ketika dulu.Skim cepat kaya di Albania berasaskan skim piramid dan kejatuhan skim itu sekali gus memberikan kesan terhadap suasana politik dan sosial masyarakatnya.
Pada suatu ketika, nilai liabiliti (hutang) yang ditanggung skim piramid itu mencecah hampir separuh daripada aset dalam negara berkenaan.
Lebih memedihkan, kira-kira dua pertiga daripada penduduk Albania melabur dalam skim piramid itu. Apabila skim itu runtuh, ia menimbulkan keadaan huru-hara yang dahsyat dalam negara dan menjurus kepada kejatuhan kerajaan Albania.
Kerajaan sudah tidak mampu mengawal emosi orang-ramai yang begitu berang dengan kerugian yang mereka tanggung dan mencetuskan perang saudara yang menyebabkan hampir 2,000 orang terkorban.
Agak menghairankan saya, keruntuhan sebuah kerajaan kerana skim itu tidak sedikit pun menakutkan orang-ramai di negara ini. Walaupun semakin banyak syarikat yang disiasat dan penganjurnya didenda, namun jika muncul skim cepat kaya yang baru, pasti ada yang menyertainya kerana masing-masing pelabur sudah sedia menanggung risiko 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam'.
Mengapa tidak kita laburkan wang hasil titik peluh ke dalam saham amanah yang diuruskan secara profesional? Pelaburan dan tabungan dalam firma pelaburan yang dijamin kerajaan serta syarikat kewangan berlesen amat terjamin kerana wang itu dijadikan dana untuk membeli aset dan sekuriti bagi mengukuhkan kedudukan kewangan.
Sebaliknya, skim cepat kaya bergantung sepenuhnya kepada `perniagaan manusia' dengan setiap pelabur perlu mencari sekumpulan pelabur lain untuk menambah dana yang ada bagi memberi pulangan kepada pelabur awal.
Apabila tiba tahap tepu iaitu tiada pelabur baru muncul, kejatuhan skim cepat kaya pun tiba. Segala-galanya menjadi kelam-kabut kerana wang orang-ramai sudah dikumpul, sedangkan segala janji yang diberikan sebelum ini tidak dapat dipenuhi.
Akibatnya, pelabur berasa tertipu dan mula membuat laporan polis dengan harapan pelaburan itu dapat diperolehi balik, sedangkan penganjur skim itu sudah lama melarikan diri bagi mengelakkan diri mereka dikesan.
Dari sudut undang-undang, Akta Syarikat 1965 menyebut syarikat tidak boleh mempelawa orang awam melaburkan wang kecuali syarikat yang mempelawa itu adalah syarikat awam. Selain itu, syarikat berkenaan hendaklah terlebih dahulu mengeluarkan satu prospektus untuk diedarkan kepada orang-ramai dan prospektus itu mesti mendapat kelulusan Pendaftar Syarikat.
Menurut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 / Banking and Finance Institution Act 1989 (BAFIA) pula, hanya syarikat yang diberi keizinan kerajaan, berhak menerima deposit daripada orang awam.
Oleh itu, apabila sesebuah syarikat tidak mengeluarkan prospektus dan mempelawa orang-ramai mendepositkan wang mereka tanpa lesen sah, laporlah kepada pihak berkuasa kerana ia jelas melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.
Syarikat berkenaan bukan saja boleh dikenakan denda yang tinggi, malah penganjur dan ahli lembaga syarikat itu juga boleh dikenakan hukuman penjara yang sangat berat.
Jika syarikat disyaki menjalankan skim cepat kaya, segala harta dan aset syarikat berkenaan akan dibekukan sementara menunggu hasil siasatan. Siasatan boleh dilakukan oleh polis, kementerian yang bertanggungjawab dengan hal-ehwal pengguna atau Bank Negara.
Penyiasatan mesti dilakukan dengan pantas dan jika syarikat disyaki menjalankan skim cepat kaya, syarikat itu diarah menghentikan operasinya serta-merta. Jika tindakan segera tidak diambil, dikhuatiri lebih ramai lagi yang menjadi mangsa penipuan.
Seterusnya, pihak berkuasa boleh menutup syarikat terbabit berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada atau atas beberapa faktor lain.
Kita berharap, lebih banyak pendedahan dapat dibuat demi mengekang skim cepat kaya daripada terus berleluasa. Pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang perlu diperhebatkan untuk melumpuhkan kegiatan yang berunsur penindasan ini.
Kita tidak mahu rakyat negara ini terus diperdayakan oleh pengusaha-pengusaha lintah darat yang menghirup keuntungan secara tidak sah!
Penulis ialah Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya serta Peguam Syariah di Mahkamah Tinggi Syariah. Beliau juga adalah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Segala pandangan dan pertanyaan boleh dikemukakan di alamat krulco@yahoo.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment